Dari sudut politik apakah yang boleh Dr nasihatkan kepada pejuang-pejuang agama agar tidak lari daripada asas agama selain parti pemerintah agar berubah demi kepentingan rakyat?
Saya ingin nasihati diri saya dan mereka yang menyatakan berjuang untuk Islam dengan nasihat yang pernah diberikan oleh al-Syeikh Maulana Abul Hasan 'Ali al-Nadwi dalam risalahnya 'Uridu ah atahaddatha ila al-Ikhwan' (Aku Ingin Berbicara Dengan Al-Ikhwan al-Muslimin). Beliau pernah nasihati Jamaah al-Ikhwan al-Muslimin dengan nasihat ini;
"Wahai Ikhwan Muslimin yang mulia! Sasaran dakwah al-din dan tajdid Islami (pembaharuan Islam) itu bukanlah mudah. Bukanlah tujuan dan tumpuannya untuk menukar kerajaan semata. Tidak jua untuk mengubah satu suasana politik kepada suasana politik yang lain. Tidak untuk menyebarkan pengetahuan dan ilmu, atau menghadapi buta huruf dan kejahilan, atau memerangi pengangguran, atau mengubati kecacatan masyarakat dan akhlak atau seumpamanya seperti yang diperjuangkan oleh para pejuang perubahan di Barat dan Timur,"
Sebaliknya, ia adalah seruan Islam yang merangkumi akidah dan akhlak, amalan dan siasah, ibadah juga keperibadian diri dan masyarakat. la meliputi akal dan jiwa, roh dan jasad. la bergantung kepada perubahan mendalam dalam hati dan jiwa, akidah dan akal. la terpancar dari hati sanubari sebelum terbit dari pena, atau helaian buku, atau mimbar syarahan. la terlaksana dalam tubuh pendakwah dan kehidupannya sebelum dia menuntut dilaksanakan dalam masyarakat keseluruhannya.
Istimewanya dakwah dan kesungguhan para nabi adalah ketulusan mereka dari memikiran kepentingan kebendaan, hasil yang segera. Mereka tidak mencari dengan dakwah dan jihad mereka melainkan keredaan Allah. Melaksanakan perintahNya dan menunaikan risalahNya. Akal dan pemikiran mereka tulus daripada amalan untuk dunia, mendapat kedudukan, menghasilkan kekuatan untuk keluarga dan pengikut, memperolehi kerajaan. Bahkan itu semua tidak pernah terlintas dalam fikiran mereka.
Pemimpin PAS diharap dapat mempertahankan parti Islam itu daripada dijangkiti penyakit yang membawa masalah kepada Umno
Tujuan tubuhkan kerajaan demi capai matlamat agama?
Adapun kerajaan yang tertegak untuk mereka pada waktu mereka dan kekuatan yang diperolehi pada masa itu hanyalah hadiah daripada Allah. la sebagai jalan untuk sampai kepada matlamat agama, melaksanakan hukum-hakamnya, mengubah masyarakat dan mengarahkan kehidupan.
Kata Abul Hasan lagi: "Bukanlah sama sekali kerajaan yang diperolehi itu salah satu daripada matlamat mereka, Bukan jua salah satu dari tujuan mereka. Tidak jua daripada tajuk perbicaraan mereka, atau salah satu dari mimpi mereka. Hanya ia adalah hasil semulajadi untuk dakwah dan jihad. Sama seperti buah yang merupakan hasil semula jadi dari kesuburan pokok dan kesungguhan pembajaannya".
Katanya juga: "Wahai tuan-tuan! Besarnya perbezaan antara matlamat yang dituju, dan natijah yang muncul. Perbezaan ini akan zahir dalam jiwa yang bekerja untuk itu. Maka, yang bertujuan mendapatkan kerajaan, akan hilang kesungguhan dan diam apabila tidak memperolehinya, atau hilang harapan mendapatkannya. Dia akan berhenti daripada dakwah. Dia juga akan melampau jika berjaya. Bahaya bagi setiap jemaah yang pemikiran mereka dibentuk atas cinta (mendapatkan) kerajaan (kuasa) dan bekerja untuk itu. Kerana ia akan menyebabkan mereka meninggalkan jihad di jalan dakwah atau boleh terpaling dan terseleweng tujuan mereka.
"Sebabnya, uslub (cara) untuk mendapatkan kerajaan berbeza dengan uslub dakwah. Wajib kepada kita membersihkan akal dan jiwa kita, semata-mata untuk dakwah. Hanya dakwah, khidmat, pengorbanan, mengutamakan saudara Muslim, mengeluarkan manusia - dengan izin Allah -, daripada segala kegelapan kepada cahaya (Islam), dari jahiliyah kepada Islam, dari kesempitan dunia kepada keluasannya.
"Daripada kekejaman agama-agama yang sesat, sistem-sistem yang zalim, mazhab-mazhab yang tidak menentu, kepada keadilan Islam dan lembayungnya. Faktor yang membawa kita kepada amal dan jihad hanyalah untuk menunaikan perintah Allah dan kemenangan pada Hari Akhirat. Juga kerana apa yang Allah sediakan untuk hamba-hamba-Nya daripada ganjaran dan pahala. Kemudian, faktor lain ialah simpati kepada makhluk, kasih kasihan kepada insan yang terseksa, dan keinginan terhadap keselamatan manusia.
"Jika pada satu peringkat dakwah, atau pada satu masa -setelah prinsip-prinsip dakwah dan akidah kukuh dalam jiwa pendakwah-tujuan dakwah tidak dapat dicapai melainkan dengan mendapatkan kerajaan, kita akan berusaha untuk mendapatkannya."
"Demi kemaslahatan dakwah. Dengan jiwa yang luhur dan bersih, benar dan amanat, kusyuk dan tulus, seperti kita bersungguh dalam tanggungjawab dan rukun agama, juga ibadah-ibadah yang lain. Tiada beza bagi seorang mukmin antara kerajaan dan ibadah yang lain, jika telah ikhlas dan betul niatnya.
"Semua itu dalam reda Allah, kesemuanya pada jalan Allah. Kesemuanya ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah." Itu sebahagian nasihatnya.
Nasihat saya, semoga jiwa saya dan saudara semua, sama seperti yang dinasihati oleh tokoh yang besar ini, Kita membawa mesej dakwah Islam yang kudus. Jangan kita berpolitik sehingga kita terlupa siapa kita? Apakah matlamat kita? Selalu kita bertanya apakah tindakan kita, jika baginda s.a.w. hadir melihatnya, maka baginda akan setuju dan menyokong kita?